Monday, December 13, 2010

Makluman : pertukaran Pembantu Tadbir Ahli majlis MPKj zon24.

 Assalamualaikum,

Dimaklumkan pertukaran pembantu Tadbir baru daripada Sdr Rosli Kamirin (Wak Rosli) kepada
Sdr Rosli Bin Ramli. Sebarang urusan, sila hubungi sdr Rosli di talian :019-2624093.
Berkuatkuasa serta merta.

sekian.
wassalam.

Monday, October 25, 2010

Pelancaran Senam Robik Di Bandar Seri Putera..Bersenamlah Untuk Kesihatan

Monday, October 25, 2010


Pelancaran Senam Robik Di Seri Putera

Bandar Seri Putra, 15 Zulkaedah = 23 Oktober (Sabtu):
Pagi ini atas inisiatif Ahli Majlis MPKj Zon 24 bersama Bangi Height dan Persatuan Penduduk dilancarkan acara `Senam Robik` di Padang Rakreasi Awam bersebelahan dengan Tol Bandar Seri Putera. Ketika Adun Bangi tiba jam 8.30 pagi senam robik sedang rancak berjalan diikuti lebih kurang 150 penduduk kecil besar. YDP MPKj tiba lebih kurang waktu yang sama dengan Adun dan turut masuk ke dalam barisan hadapan senam robik. Bersama dibarisan hadapan ialah Sdr. Mazwan Johar Ahli MPKj, Tuan Haji Ahmad Yusof YDP Persatuan Penduduk, Encik Fadli Omar Jaafar yang mewakili Bangi Height. Pemimpin Senam Robik ialah Encik Ali. Senaman berlangsung sejam. Ini tidak termasuk setengah jam sebelumnya yang tidak sempat kami ikuti. Dalam masa sejam bersenam tanpa henti-henti itu, kami benar-benar berpeluh dan berasa lebih ringan dan sihat.
Selepas senaman diadakan sedikit ucapan pembukaan yang mula-mula disampaikan oleh Ahli MPKj Tuan Haji Mazwan yang memaklumkan tentang bagaimana perancangan diatur sehingga program senaman menjadi reality. Beliau berharap acara Senaman Robik ini akan terus mendapat sambutan.
YDP MPKj Dato` Hasan Nawawi yang juga jaguh berbasikal mengelilingi dunia pada tahun 2001-2002 itu menekankan perlunya kepada senaman untuk menjaga kesihatan. Menurutnya kalau tidak dapat bersenam setiap hari perlu bersenam 3 kali seminggu yang setiap kali dalam masa lebih kurang setengah jam. Menurutnya, Tuan-tuan boleh berbasikal keliling Bandar Seri Putera sebagai satu cara menjaga kesihatan.
``Dengan bersenam badan kita sihat, otak cerdas dan tidak cepat nyanyuk``. Katanya. Beliau memberi contoh Profesor Ungku Aziz yang sering berjoging, walaupun umurnya menghampiri 90 tahun, tapi masih sihat dan masih kuat ingatan.``
Dato` Hasan Nawawi menyebut sekarang ramai mengalami penyakit yang berhubung dengan permakanan seperti darah tinggi, sakit jantung dan kencing manis. Beliau memberi fatwa bagi menjaga kesihatan dan fitness. Menurutnya perlu jaga 4 perkara:
1) Amalkan bersenam setiap hari atau tiga kali seminggu secara berterusan
2) Menjaga permakanan. Elak dari yang berlemak
3) Kawal mental dari stress. Usaha menenangkan diri – termasuk beribadat
4) Untuk orang yang telah berumur perlukan `food supplement`.
Adun Bangi juga diminta berucap. Beliau memuji usaha mengadakan senam robik pada hari Sabtu seperti yang diadakan. Beliau berharap usaha ini diteruskan dan meminta penduduk terus mengambil bahagian untuk faedah kesihatan diri dan kebahagian keluarga yang turut sama bersenam. Beliau memaklumkan yang beliau mengikuti 3 tempat senam robik, iaitu di tepi Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi, di Dataran Usahawan Seksyen Satu BBB dan hari ini di Bandar Seri Putera ini. Senam robik di tepi Tasik Cempaka masih hidup dan berjalan setiap minggu. Tapi di Dataran Usahawan tidak lagi ada. Sepatutnya, secara bergurau beliau berkata, ``Penduduk berdekatan Dataran Usahawan meneruskan senam robik. Mereka dekat denganm pasar dan tempat jualan makanan. Tentulah banyak makanan yang dimakan. Mereka sebenarnya lebih memerlukan senaman.`` Menurutnya, Kita harapkan kalau mereka tidak bersenam di Dataran, bersenamlah di rumah. Beliau menyebut,``Rakyat Malaysia sebenarnya dalam keadaan mewah dan terlebih makan. 60% dari mereka mengalami kegemukan. Sebab itu mereka patut amalkan senaman. Sesungguhnya bila rakyat sihat keluarga dan Negara juga sihat.
Dengan bersenam kata Adun, bukan saja sihat tubuh badan, tetapi juga mental. Banyak ilham yang baik terbetik masa bersenam yang dapat digunakan. Pemimpin-pemimpin Negara mengambil peluang berbincang semasa bersenam, iaitu bermain golf. Kita kalau tak dapat main golf, boleh bersenam secara menyangkul dan membersih kawasan rumah pada petang hari dan hari-hari minggu. Dengan demikian tubuh badan sihat dan rumah bersih dari sampah dan wabak seperti denggi. Sesunggunya Akal yang sihat berada pada tubuh badan yang sihat. Kesihatan adalah sesuatu yang amat berharga. Kita menyedari betapa tinggi nilainya apabila kita sakit. Tuan-tuan dan Puan-puan jangan tunggu sakit baru mau jaga kesihatan. Bersenamlah Untuk Kesihatan.
Sekian.

Thursday, October 21, 2010

Facebook MPP24 MPKj...


akaun facebook MPP24 MPkj : Mppduaempat Mpkj :
http://www.facebook.com/#!/profile.php?id=100001718688528


Dikongsikan hasil tulisan Ustaz Zaharuddin melalui blog’nya yang bertajuk Dosa-Dosa & Facebook
* * *
Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Tertekanlah sang suami atau isteri.
Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.
Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca’ dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin’ dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.
2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran’ nafsu.
Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina’.
Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini.
3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend’ seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.
Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.
4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah’ difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa’ yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan …’DOSA’. Simpan sahajalah gambar-gambar ‘kiut’ (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke’kiut’an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat dosa.
5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.
Ini adalah kerana, terdapat ‘trend’ menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di’tag’, akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.
Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
a – Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.
b – Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid’, tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di’tanda’ boleh dengan segera delete ‘tag’ itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged’ nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c – Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang’ yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem’, ‘zaman solehah’, ‘waktu innocent’, zaman-zaman suci’, ‘itu zaman kuno dulu’, ‘itu masa duduk bawah tempurung’ dan lain-lain frasa yang sepertinya.
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.
KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama ‘ukhuwah’ untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

"pilot project" pemantauan kutipan sampah di BBM...

Assalammualaikum w.b.
      Salam sejahtera kepada semua warga zon 24 MPKj.
      PERIHAL URUSAN KUTIPAN SAMPAH.
1.   Sukacita dimaklumkan 'pilot project' pemantauan kutipan sampah di Seksyen 2&3 BBM telahpun dilaksanakan dan berjalan dengan lancar. En. Murad Adam sebagai wakil pemantau bagi pihak MPP di Seksyen 2&3 BBM telahpun berhubung dan dihubungi beberapa kali oleh pihak MPKj untuk maklumbalas perkhidmatan kutipan sampah di kawasan tersebut.

Dikongsikan artikel berita daripada akhbar Sinar Harian bertarikh 21/10/2010 (Khamis) bertajuk "Kontraktor diminta lebih prihatin"...







Wednesday, October 20, 2010

BULETIN MPP ZON 24 MPKj SIRI KE 3/2010....



 
  Assalammualaikum w.b. dan salam muhibbah kepada seluruh warga Zon 24 MPKj.
       
1.   Maaf, dalam kesuntukan berperang dengan masa ini saya cuma dapat berkirim berita ringkas sahaja.
 
2.   Sukacita dimaklumkan pihak kontraktor yang dilantik Pemaju akan mula memasuki kawasan BBM untuk melakukan kerja2 penurapan jalan lebuh utama BBM mulai esok, Khamis,21 Oktober 2010.
 
3.   Saya juga ingin menyampaikan ucapan takziah di sini kepada keluarga mendiang Logendran a/l Karthigesu yang telah meninggal dunia dalam insiden kemalangan jalanraya semasa menunggang motosikal di lebuh utama Persiara 2 BBM semalam. Mendiang berumur 14 tahun dan menunggang motosikal bersama 3 rakannya yang lain.
 
4.   Ketiga-tiga rakannya yang lain mengalami kecederaan dan dimasukkan ke hospital. Saya dimaklumkan mereka berempat menunggang 2 buah motosikal.
 
5.   Saya juga mengambil maklum tempat tersebut adalah menjadi antara tempat kegemaran para remaja bermotosikal 'beriadah'.
 
6.   Setelah jalan di situ diturap dan berkeadaan baik, ianya mungkin menjadi tempat yang lebih menarik perhatian para remaja dan belia untuk ke sana.
 
7.   Inilah antara perkara yang boleh difikirkan bersama oleh kita untuk diuruskan sebaiknya agar tiada episod yang lebih menyayat hati berlaku sesudah ini.
 
Sekian dahulu dan InsyaAllah hingga ketemu lagi.
Wassalam.

Tuesday, October 19, 2010

PERTANDINGAN KEJIRANAN TERBAIK MPP MPKj 2010


Pertandingan Kejiranan Terbaik MPP MPKj 2010 telah bermula sejak Mac 2010 yang lalu. Sebanyak 31 buah taman perumahan telah menyertai pertandingan ini. Sebanyak 2 kategori dipertandingankan iaitu kediaman teres dan kediaman bertingkat. Lawatan telah dilakukan oleh juri-juri dari kalangan kakitangan MPKj.

Tujuan pertandingan ini diadakan ialah mewujudkan kerjasama yang jitu dan hubungan erat di antara Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), masyarakat dan  kontraktor kebersihan di taman perumahan. Kedua, memberi galakan dan kesedaran kepada penduduk taman melalui pertandingan tentang tanggungjawab penduduk dalam membantu PBT bersama-sama menjaga kebersihan dan persekitaran taman. Ketiga, memupuk semangat perpaduan antara kaum dengan penglibatan menyeluruh semasa melakukan aktiviti.

Berikut senarai nama pemenang Pertandingn Kejiranan Terbaik MPP MPKj 2010 :

Kategori Bertingkat:
KedudukanTamanZonGeran Pengindahan
JohanTaman Sepakat Indah
(Apartment Sri Ros)
20RM15,000.00
KeduaTaman Wawasan1RM10,000.00
KetigaPangsapuri Damai Mewah14RM5,000.00

Kategori Teres:
KedudukanTamanZonGeran Pengindahan
JohanTaman Damai Impian23RM15,000.00
KeduaTaman Tasik Semenyih18RM10,000.00
KetigaBandar Tun Hussein Onn11RM5,000.00


Sumber :
Jabatan Khidmat Kemasyarakatan, MPKj.