Sunday, October 17, 2010

BULETIN MPP ZON 24 MPKJ ( Siri Ke 2 ).

      Assalammualaikum w.b.
      Salam sejahtera kepada semua warga zon 24 MPKj.
      PERIHAL URUSAN KUTIPAN SAMPAH.
1.   Sukacita dimaklumkan 'pilot project' pemantauan kutipan sampah di Seksyen 2&3 BBM telahpun dilaksanakan dan berjalan dengan lancar. En. Murad Adam sebagai wakil pemantau bagi pihak MPP di Seksyen 2&3 BBM telahpun berhubung dan dihubungi beberapa kali oleh pihak MPKj untuk maklumbalas perkhidmatan kutipan sampah di kawasan tersebut.
2.   Saya juga menerima secara terus aduan kelewatan kutipan sampah oleh penduduk2 dalam zon 24 dan telah memanjangkan perkara ini kepada pihak MPKj untuk tindakan mereka. Alhamdulillah, semua aduan yang disampaikan telah diambil tindakan segera oleh MPKj.
3.   Kita mengharapkan prestasi kerja2 kutipan sampah ini akan dipertingkatkan lagi sehingga ke tahap ianya dapat berjalan dengan lancar dan baik secara automatik tanpa memerlukan pemantauan dan pengawasan yang ketat daripada kita setiap masa.
4.   Pihak MPKj juga sedang dalam proses memasang papan tanda pemakluman jadual kerja2 kutipan sampah, pemotongan rumput dan pembersihan longkang di kawasan2 perumahan seluruh zon dalam kawasan pentadbiran MPKj. Papan tanda ini akan memudahkan para penduduk memahami jadual kerja pembersihan yang patut dilakukan oleh kontraktor2 yang dilantik di kawasan tersebut dan sekaligus meningkatkan kesedaran dan komitmen dipihak kontraktor untuk memenuhi obligasi mereka kerana sedar bahawa para penduduk faham dengan jelas hak mereka menuntut pembersihan dijalankan di kawasan mereka seperti maklumat yang terpampang atas papan tanda tersebut. InsyaAllah, saya akan berusaha agar papan tanda itu dapat dipasang cepat sedikit dalam kawasan zon 24 (maklumlah, kita adalah zon terakhir dalam MPKj).
5.   Disamping itu, saya masih menyimpan 2 perancangan besar yang akan dikongsi bersama dengan tuan/puan apabila tiba masanya dalam usaha kami untuk meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan pembersihan di kawasan kita.
      PERIHAL TAPAK PELUPUSAN SAMPAH SG. KEMBONG.
6.   Aduan telah disampaikan kepada saya pada Khamis, 14/10/10 mengenai bau busuk yang datang daripada tapak pelupusan ini.
7.   Saya tegaskan lagi di sini bahawa tapak pelupusan tersebut telah diserahkan kepada syarikat Worldwide Holdings Bhd atas keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk dibaikpulih dan dibangunkan oleh mereka. Tapak tersebut telah ditutup daripada menjadi tempat pelupusan sampah sejak 20 Julai 2010. Pihak Worldwide telahpun mula memasuki tapak tersebut dalam bulan Julai juga untuk tujuan pengambilalihan tapak tersebut.
8.   Worldwide kini adalah "tuan" kepada tapak tersebut. Menjadi tanggungjawab mereka menjaga, memelihara dan menyelenggara tapak tersebut dengan cara yang baik dan bertanggungjawab agar tidak  menimbulkan kacau ganggu kepada jiran tetangga sebagaimana tanggungjawab tuanpunya tanah persendirian yang lain ( sepertimana kita bertanggungjawab menjaga kebersihan dan kemaslahatan kawasan rumah kita ). Misalnya, tanggungjawab kita untuk menebas rumput semak-samun dalam kawasan rumah kita dan membersihkan longkang dan takungan dalam kawasan rumah kita agar tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Begitulah juga halnya dengan syarikat Worldwide dan tapak Sg. Kembong.
9.   Saya telah meminta MPKj menyiasat pada keesokan harinya, Jumaat, tentang aduan bau busuk daripada tapak tersebut. Pihak MPKj telah melaporkan kepada saya pada hari yang sama bahawa ianya berpunca daripada kerja2 penolakan dan meratakan tanah yang dilakukan oleh Worldwide di tapak tersebut.
10.  Dalam proses tersebut, ada longgokan2 sampah yang terdedah dan terburai. Longgokan2 besar  sampah ini hendaklah dirawat segera untuk mengawal daripada tersebarnya bau busuk dengan meletakkan antara lain lapisan tanah atas timbunan sampah tersebut. Kami dimaklumkan bahawa Worldwide tidak lagi dapat mengambil bekalan tanah daripada pembekal sedia ada sebelum ini atas sebab2 tertentu dan sedang berusaha mencari pembekal baru.
11.  Kita berharap Worldwide dapat menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera demi kebaikan dan kemaslahatan kita bersama.
       PERIHAL PEMBAIKAN LEBUH UTAMA BBM.
12.  Sukacita dimaklumkan pihak Pemaju akan menurap semula bahagian jalanraya lebuh utama BBM yang berada dalam keadaan daif ketika ini. Antara kawasan yang terlibat adalah lebuh utama sepanjang Seksyen 1,2,3,4 BBM dan jalan di susur keluar BBM ke Nilai.
13.  Saya dimaklumkan oleh Jabatan Kejuruteraan MPKj bahawa kontraktor binaan akan mula memasuki kawasan untuk memulakan kerja2  mereka pada minggu hadapan.
14.  Sekalung penghargaan dan terima kasih daripada saya kepada pihak Pemaju yang telah memberikan komitmen dan kesediaan menjalankan kerja ini untuk kebaikan kita bersama. Semoga tuan/puan dapat bersabar menghadapi sedikit kesulitan semasa kerja2 penurapan jalan dijalankan.
       Yang Menjalankan Tugas Dengan Istiqamah Seberapa Terdaya,
       Mazwan Bin Johar.


No comments:

Post a Comment