Monday, September 13, 2010

Buletin MPP zon 24 MPKj (Siri 1) :Salam aidilfitri & isu setempat ..

 
 
Assalammualaikum w.b.
Salam sejahtera kepada semua warga zon 24 MPKj.
Selamat menyambut Hari Raya I'dilfitri 1431H.
 
1.   Saya memohon kefahaman dan kemaafan daripada seluruh para warga penduduk zon 24 yang disantuni atas selang masa yang agak lama selepas kali terakhir mengirim berita rasmi kepada tuan/puan. Kelewatan bukan kerana sibuk dengan urusan lain tetapi asyik dengan menangani pelbagai permasalahan di zon kita jua.
 
      PERIHAL URUSAN SAMPAH
 
2.   Masalah kutipan sampah domestik di kawasan perumahan kita masih berterusan dan mencapai tahap yang menggusarkan. Saya berterusan mendapat aduan sampah tidak berkutip dalam selang waktu melebihi 5 hari pada hari2 menjelang Idilfitri. Alhamdulillah, semua aduan yang sampai kepada saya dapat diuruskan kutipan sampahnya sebelum Idilfitri pada hari Jumaat. Namun gejala kutipan sampah seperti pahat dengan penukul ini hendaklah terbatas dalam tempoh masa singkat sewaktu ada krisis dan tidak melarat hingga menjadi suatu norma pula dalam kawasan kita.
 
3.   Sekiranya 'Q' lori yang panjang di Kg. Pasir menjadi alasan gangguan kitaran kutipan sampah, ianya patut dialami oleh seluruh kawasan MPKj. Namun saya dimaklumkan ada tempat lain di MPKj yang kutipan sampahnya berjalan dengan baik 3X seminggu. Maka itu, prestasi para kontraktor mengangkut sampah di zon kita menjadi satu persoalan yang perlu pemerhatian dan pemantauan teliti.
 
4.   Sistem pemantauan prestasi kerja kontraktor sekarang diawasi oleh 2 pengawas. Satu daripada Alam Flora dan satu lagi daripada MPKj untuk setiap kawasan. Laporan prestasi kontraktor yang diterima daripada mereka tidak menyamai maklumbalas 'panas' dan keluh kesah yang kita dapati daripada para penduduk.
 
5.   Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perkhidmatan Bandar MPKj dalam bulan Ogos telah memutuskan mencuba kaedah pengawasan ke 3 iaitu melibatkan maklumbalas prestasi kontraktor daripada wakil penduduk sendiri. Sebagai 'pilot project', setiap zon dikehendaki menamakan satu kawasan dalam zon masing2 untuk  mempelopori kaedah ini. Saya telah memilih Seksyen 2&3 BBM dengan menamakan EN. Murad Adam sebagai penama untuk dihubungi oleh MPKj bagi memantau kutipan sampah di sana.
 
6.   Berdasarkan bilangan dan kekerapan aduan yang saya terima, rasanya ini adalah satu kaedah yang baik tetapi pilot project dan implementasinya berjalan dalam gerak perlahan (slow motion). Saya sendiri berasa resah dan berhasrat mempercepatkan rentak implementasi kaedah ini di zon kita.
 
      PEMBENTUKAN MAJLIS PERWAKILAN PENDUDUK (MPP) ZON 24 MPKj
 
7.   Tempoh khidmat MPP yang lalu telahpun berakhir dalam bulan Julai. Saya telah dilantik semula sebagai Ahli Majlis bagi tempoh Julai 2010 sehingga Disember 2011. Saya sedang berusaha membentuk semula MPP Zon 24 yang baharu dalam bulan September ini.
 
8.   Sebaik sahaja MPP ini dibentuk, agenda awal dan utama adalah untuk kita berusaha mengimplementasi kaedah pilot project tersebut ke seluruh zon 24. Biar kita meneroka dan mendahului dalam usaha untuk memperbaiki prestasi kutipan sampah dalam zon kita khususnya dan kawasan MPKj amnya untuk kebajikan kita bersama. Mohon didoakan untuk kejayaan dan kesejahteraan kita bersama.
 
9.   Butiran terperinci dan perancanaan kaedah yang akan digunakan akan dibentangkan dalam mesyuarat MPP sebelum dikongsi bersama dengan tuan/puan selepas ini, InsyaAllah.
 
      SITUASI TAPAK PELUPUSAN SAMPAH SG. KEMBONG
 
10.  Usah risau. Mimpi ngeri tuan/puan bahawa tapak pelupusan ini mungkin diguna semula berikutan insiden cairan sisa kumbahan sampah dari tapak tersebut mengalir masuk ke Sungai Kembong baharu ini hanyalah sekadar mimpi yang mengerikan sahaja dan kekal mimpi hingga kini.
 
11.  Tapak tersebut telah diserahkan kepada syarikat Worldwide Holdings Berhad untuk dibaikpulih. Jika mereka gagal membaikpulih, mereka yang akan gagal meraih keuntungan optimum daripada tapak tanah yang luas diserahkan kepada mereka oleh keputusan Kerajaan Negeri Selangor.
 
12.  Saya difahamkan proses pemulihan ini memakan masa yang panjang, mungkin 20 tahun. Kemajuan sains dan teknologi mungkin menyediakan kaedah untuk mempercepatkan proses pemulihan ini dimasa depan. Kandungan gas ammonia ditapak sebegini sememangnya tinggi dan akan kekal begitu untuk jangka masa panjang. Oleh yang demikian ia mungkin tidak sesuai dijadikan kawasan kediaman kekal. Kegunaan lain, misalnya sebagai padang golf mungkin lebih sesuai. Saya sendiri masih menanti apakah perancangan mutakhir Worldwide atas tapak tersebut. Apapun, mereka perlu kembali kepada MPKj untuk mendapatkan Kelulusan Merancang daripada kami. InsyaAllah kita akan bersama2 memastikan mereka menjadi jiran yang baik kepada zon kita.
 
      CUTI RAYA
 
13.  Saya bercuti dan berada di rumah mertua di Ayer Keroh, Melaka. InsyaAllah esok akan memulakan perjalanan ke kg. halaman rumah mummy dan daddy saya di Ayer Hitam, Kedah. Mimpi manis saya adalah dapat berjumpa AIR JERNIH sekembali saya sekeluarga ke zon kediaman kita Rabu ini. hi hi hi...
 
      Saya dengan rendah hati memohon ampun dan maaf atas segala kelemahan dan kekurangan diri sepanjang melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor ke atas bahu saya untuk menjaga dan memelihara kebajikan dan kesejahteraan tuan/puan di kawasan kejiranan kita ini. Mohon nasihat dan pandangan semasa tuan/puan sepanjang perkhidmatan saya ini. Jangan disimpan sebarang nasihat dan teguran hingga ke alam Barzakh. Pada ketika itu mungkin masih relevan untuk tuan/puan namun sudah terlalu lewat buat diri ini.
 
Wassalam.

No comments:

Post a Comment