Assalammualaikum w.b.
Salam hormat kepada warga Zon 24 MPKj yang disantuni.
1. Saya kini semakin kerap menerima aduan berkenaan kutipan sampah yang tidak konsisten dan mengambil selang masa yang lama.
2. Selepas penutupan tapak pelupusan sampah di Sungai Kembong, kesemua sampah dihantar ke pusat pemprosesan sampah di Kg. Pasir, Semenyih.
3. Pusat sampah tersebut masih belum beroperasi pada tahap optimum. Ia mempunyai 4 barisan lorong proses sampah dengan keupayaan memproses 170 tan sampah setiap lorong setiap hari. Maka jika beroperasi sepenuhnya ia dapat kendalikan 680 tan sampah sehari. Kawasan MPKJ menjana antara 500-600 tan sampah sehari.
4. Ya, benar! Kita adalah juara dalam penghasilan sampah di Selangor. Menewaskan MBSA dan MBPJ. Adoi....
5. Semenjak pusat sampah itu dibina sehinggalah hari ini, ia tidak pernah mencapai tahap operasi optimumnya. Saya dimaklumkan, pada hari terbaik pun, hanya 2 lorong sahaja yang beroperasi pada masa yang sama. Maka itu, ia hanya mampu memproses kira2 separuh sahaja daripada sampah yang dijana kita bersama.
6. Saya kesuntukan masa pada hari ini dan menanti maklumat terkini pengawasan yang dijalankan oleh MPKj di pusat sampah tersebut. InsyaAllah, saya berharap mendapat berita terkini esok dan akan berkongsi maklumat lagi dengan Tuan/Puan sekalian.
7. Keterbatasan kemampuan pusat sampah menerima dan memproses sampah sudah tentu akan menjejaskan kitaran trip yang boleh dilakukan oleh lori2 pemungut sampah kerana terpaksa menanti masa yang panjang untuk memunggah muatan sampah mereka ke pusat sampah tersebut. Ini adalah disebut sebagai punca kepada gangguan jadual kutipan sampah di zon kita (sepatutnya 3X seminggu). Walau bagaimanapun, saya percaya kita harus berhati2 dan tidak mudah berserah pasrah kepada alasan tersebut. Para kontraktor sampah harus dipantau ketat agar bekerja pada tahap optimum dan tidak mengambil kesempatan berlindung disebalik alasan ini untuk melakukan kerja mereka secara sambil lewa.
8. Pihak MPKj telah memperkenalkan satu "pilot project" bertujuan mengawasi perkara ini. InsyaAllah saya akan berkongsi hal ini dengan Tuan/Puan esok.
9. Buat masa kini, di tempat yang bermasalah, aktiviti kutipan sampah adalah seperti pahat dengan penukul. Apabila saya mendapat aduan dan saya majukan kepada Pengarah Perkhidmatan Bandar MPKj, maka kutipan pun berjalan sekali itu. Buat sementara waktu, Tuan/Puan bolehlah salurkan aduan sampah tidak berkutip ke PT saya atau saya sendiri melalui sms.
InsyaAllah, hingga ketemu lagi.
Wassalam.
Yang Menjalankan Tugas Dengan Istiqamah Seberapa Terdaya,
Mazwan Johar.
No comments:
Post a Comment